Sejarah Air Zam Zam

Nabi Ibrahim a.s. telah mempunyai dua orang isteri iaitu Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail). Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama isterinya, Siti Hajar dan anak mereka, Ismail pergi ke Makkah.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. (tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang). Di waktu itu Makkah hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukau yang tandus dan tidak ada air dan tidak didiami oleh manusia. .

Tidak berapa lama kemudian, Nabi Ibrahim pun meninggalkan mereka dengan dibekalkan buah tamar dan air. Sebelum itu Siti Hajar bertanya dan mempersoalkan beberapa kali mengapa beliau dan anaknya Ismail di tinggalkan di lembah yang tidak berpenghuni ini sedangkan anak mereka, Ismail masih kecil menyusu lagi. Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata pun. Akhirnya Siti Hajar bertanya lagi samada adakah ini perintah dari Allah ? Di sini baru Nabi Ibrahim menjelaskan bahawa ini adalah perintah dari Allah.

Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Beliau percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan apatah lagi sewaktu itu, Ismail masih kecil dan menyusu lagi. Beliau redha dengan pemergian suaminya Nabi Ibrahim. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertolak pergi sehingga baginda tidak kelihatan lagi di mata Siti Hajar dan Ismail. Setelah itu Nabi Ibrahim a.s menghadapkan mukanya ke arah kiblat (Kaabah sekarang ini) kemudian terus mengangkat tangan sambil berdoa:

Yang bermaksud: “(Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ditumbuhi tanaman, di sisi rumahMu yang diharamkan dari dicerobohi. Wahai Tuhan kami, mereka yang ditempatkan di situ supaya mendirikan sembahyang dan memakmurkannya dengan ibadat. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik supaya datang beramai-ramai ke situ dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka menjadi orang yang bersyukur).”

Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim pun habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sehingga mendaki Bukit Safa dan Bukit Marwah berulang alik sehingga tujuh kali. Pada kali yang ke tujuh, ketika sampai di Bukit Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar bunyi yang mengejutkan lalu ia menuju ke arah bunyi tersebut. Alangkah terkejutnya, bahawa bunyi itu adalah bunyi air yang membuak buak keluar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam. Zam zam ertinya kepungan tanah yang dibentengkan supaya air tidak keluar mengalir dari benteng tersebut.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya bahawa beliau tidak perlu khuatir kerana di sinilah Baitullah akan didirikan oleh anak ini (Ismail ) bersama dengan ayahnya Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya.

Setelah itu, satu rombongan dari kabilah Jurhum menuju ke kawasan yang paling rendah di Mekah, mereka melihat burung-burung berterbangan dan berkata, sesungguhnya burung-burung ini berterbangan mengelilingi air, kami percaya bahawa di lembah ini terdapat air lalu mereka mengutuskan utusan untuk melihatnya dan utusan tersebut mendapati di sana terdapat air, lalu ia kembali dan memberitahu kepada rombongan mereka. Kabilah Jurhum meminta kebenaran dari Siti Hajar untuk pergi mendapatkan air tersebut. Siti Hajar membenarkannya dengan bersyarat iaitu telaga zam zam tidak boleh dimiliki oleh sesiapa dan mereka menyetujuinya.



Akhirnya Nabi Ibrahim dan Ismail telah mendirikan Kaabah ( Baitullah) dan kota Makkah. Kota Makkah telah menjadi tempat transit kepada kafilah kafilah yang berniaga di seluruh benua Arab. Seterusnya Ismail telah di angkat menjadi Nabi Allah Ismail untuk membimbing masyarakat di Makkah.

Setelah Nabi Ismail wafat, kabilah Jurhum yang menetap di Makkah telah membuat banyak maksiat dan Allah telah menurunkan bala kepada mereka dengan mengeringkan air telaga zam zam sehingga beratusan tahun lamanya dan di masa hampirnya saat kelahiran nabi Muhammad (s.a.w), Allah telah mengilhamkan datuk nabi Muhammad(s.a.w) iaitu Abdul Mutalib untuk menggali semula telaga zam zam. Menurut riwayat,
ketika Abdul Mutalib sedang tidur di Hijir, datang seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya untuk menggali “Barrah” (iaitu nama telaga Zamzam). Sehingga keesokan harinya pula, beliau tidur di tempat yang sama, lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya untuk menggali “Madnunah” (iaitu nama telaga Zamzam). Sehinggalah keesokan harinya, beliau kembali tidur di tempat yang sama lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya untuk menggali “Tayyibah” (iaitu nama telaga Zamzam). Pada hari yang keempat, beliau bermimpi lagi dan telah dikatakan kepada beliau supaya menggali Zam zam lalu ditunjukkan tempatnya.: Setelah itu beliau menggalinya sebagaimana Allah tunjukkan tempat serta memilih beliau untuk menggali Zamzam, Allah s.w.t telah menambahkan kemuliaan beliau dengan sebab Zamzam tersebut dan kaumnya juga dapat menikmatinya sampailah ke hari ini.


No comments:

Post a Comment